Umum //  Apakah Itu Jerebu?

Jerebu ialah satu fenomena di mana habuk, asap, dan zarah-zarah kering yang lain berkumpul di udara, menyebabkan penglihatan yang kurang jelas dan jarak penglihatan yang berkurangan. Ini berlaku apabila keadaan cuaca menghalang bahan pencemaran ini daripada disebarkan secara meluas. Apa yang berlaku ketika jerebu ialah bahan pencemaran ini bertumpu kepada sesuatu kawasan dan menyelimutkannya dan ini secara umumnya mengakibatkan pemandangan yang kurang jelas dan juga boleh menjadi satu ancaman kesihatan terutamanya kesihatan sistem pernafasan.

Jerebu boleh berwarna coklat atau biru dan bergantung kepada saiz zarah, jerebu tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar.


Jerebu menyelubungi bandar Kuala Lumpur.

Photo taken August 10, 2005 in Kuala Lumpur (Malaysia) with a Sony DSC-P43.

Apa yang menyebabkan Jerebu?
Jerebu boleh disebabkan oleh tindakan manusia serta sebab-sebab semula jadi. Tindakan ini biasanya menyebabkan habuk, asap dan lain-lain zarah kering dilepaskan ke udara. Contoh tindakan-tindakan ini ialah:

Jerebu Buatan manusia
- Pembakaran terbuka
- Pencemaran Kenderaan
- Pencemaran Perindustrian
- Pertanian (cth. pembersihan tanah)

Jerebu punca Asli
-
Kebakaran Hutan

- Habuk yang dibawa angin


Terdapat beberapa faktor-faktor lain yang diperlukan untuk mewujudkan keadaan yang sesuai untuk berlakunya jerebu. Ini termasuk cuaca kering yang berpanjangan, ketiadaan atau sedikit angin, dan bekalan bahan pencemar di udara. Dalam keadaan sebegini, -zarah-zarah di udara terperangkap, tertumpu dan tidak disebarkan atau dileraikan dan ini menyebabkan jerebu. Di Semenanjung Malaysia, jerebu biasanya berlaku pada bulan-bulan Januari hingga Februari dan Jun hingga Ogos kerana cuaca pada masa-masa itu secara umumnya kering dan tidak berangin. Kebakaran hutan samada buatan manusia atau semulajadi yang berlaku pada masa ini sering menyebabkan jerebu.


Gambar satelit menunjukkan asap daripada kebakaran terbuka di Indonesia bergerak ke Singapura dan Malaysia, mengakibatkan jerebu yang teruk.

Masalah Jerebu
Jerebu adalah satu masalah yang meruncing di Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara terutamanya dalam tempoh dua dekad yang lalu disebabkan pembersihan hutan di Indonesia dengan kaedah pembakaran terbuka. Ini adalah sesuatu masalah yang masih berterusan dan sedang ditangani oleh negara-negara ASEAN.

Jerebu yang disebabkan oleh pembakaran hutan secara luas boleh menjadi teruk dan berpanjangan. Pendedahan jangka panjang kepada jerebu sebegini boleh memudaratkan kesihatan. Semasa jerebu, sering terdapat peningkatan dalam masalah kesihatan berkaitan mata dan tekak berserta masalah pernafasan, khususnya di kalangan mereka yang lebih sensitif atau sakit. Orang ramai digesa untuk memantau kualiti udara di kawasan mereka dan mengikut nasihat pihak berkuasa kesihatan tempatan. Adalah menjadi kebiasaan untuk berada di dalam rumah dengan pintu dan tingkap tertutup dan memakai topeng yang patut ketika jerebu teruk.

Indeks Pencemaran Udara
Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah satu cara untuk menggambarkan kualiti udara di Malaysia. Indeks IPU dikira dari beberapa set data berkenaan pencemaran udara termasuk mengukur jumlah karbon monoksida, ozon, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida di dalam atmosfera. Data IPU terkini untuk Malaysia boleh diperolehi daripada laman web ini: http://apims.doe.gov.my/apims/.


Skala ini di bawah menunjukkan klasifikasi yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

IPUTahap Pencemaran Udara
0 - 50 Baik
51 - 100 Sederhana
101 - 200 Tidak Sihat
201 - 300 Sangat Tidak Sihat
301+ Merbahaya



Bagaimana Jerebu Boleh Dileraikan
Jerebu di atmosfera boleh dileraikan melalui beberapa proses. Antara cara-caranya adalah seperti berikut:

- Zarah jerebu yang lebih besar akan jatuh ke tanah atau ke atas mana-mana permukaan disebabkan daya tarikan graviti.


- Zarah jerebu halus membantu pembentukan titisan air yang akhirnya akan jatuh ke tanah sebagai hujan.


- Hujan juga mengumpul dan membawa bersamanya zarah jerebu dari atmosfera ke tanah.


- Ribut dan angin boleh membawa zarah jerebu tinggi ke atmosfera di mana ia akan tersebar luas.


KAJI SEMULA:

  1. Apakah itu jerebu?
  2. Apakah yang menyebabkan jerebu berlaku?
  3. Bagaimanakah masalah jerebu boleh diatasi?

Artikel berkaitan:





// Carian