Umum //  Apakah Punca Banjir?

Punca-punca Banjir

Anda pasti pernah mengalami situasi di mana hujan yang sangat lebat menyebabkan kawasan-kawasan yang berparas rendah dipenuhi dengan air. Fenomena ini dikenali sebagai banjir dan ia berlaku apabila kawasan daratan yang biasanya kering ditenggelami dengan air. Jika anda sering mengikuti berita tempatan sama ada di kaca television, radio atau internet, anda pasti tahu bahawa Malaysia seringkali dilanda banjir terutamanya pada musim tengkujuh (monsun). Banjir sememangnya berlaku biasanya akibat hujan lebat tetapi tahukah anda punca berlakunya banjir dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini?

Banjir berlaku apabila kandungan air di permukaan bumi adalah berlebihan dan ini biasanya disebabkan oleh hujan yang lebat. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa punca yang terperinci yang menyebabkan landaan banjir.

1.Hujan Lebat yang Berterusan

Punca banjir yang paling biasa adalah hujan lebat yang berterusan. Hujan yang lebat boleh mengakibatkan paras air di dalam sungai, longkang dan sebagainya menaik dan ia juga boleh menyebabkan pembentukan lopak air di darat. Apabila hujan lebat tidak berhenti malah berterusan untuk tempoh masa yang panjang, paras air juga akan naik secara berterusan sehingga sungai, longkang dan sebagainya penuh sehingga berlimpahan. Ini akan menyebabkan air memenuhi ruang daratan dan berlakulah banjir*.

Tahukah Anda?

-        Landaan banjir boleh dielak atau diperlahankan dengan sistem paritan yang berkesan. Jika sistem paritan sebuah bandar adalah kurang baik, banjir akan berlaku secara cepat apabila hujan lebat melanda bandar itu.

-         

-           

-         2.Kerosakan pada Empangan Air

Empangan air adalah suatu struktur yang biasanya dibina di sungai yang berdekatan dengan kawasan bandar atau kawasan perumahan. Fungsi utama empangan air adalah untuk menghalang air sungai yang berlebihan melimpah ke dalam kawasan bandar dan perumahan. Ini boleh dilakukan kerana empangan air adalah seakan sebuah benteng atau dinding yang tinggi yang menyekat saluran air di sungai. Apabila empangan air rosak, air yang sepatutnya disekat akan melimpah melalui benteng ke kawasan bandar dan perumahan dan ini boleh menyebabkan banjir berlaku.

 3.Hakisan Tebing Sungai

Hakisan tanah adalah fenomena yang mana tanah di kawasan tebing menjadi longgar dan jatuh dari tebing itu. Apabila hakisan tanah berlaku di tebing sungai, tanah yang dihakis akan jatuh dari tebing sungai ke lantai sungai. Jika ini berlaku secara berterusan, paras lantai sungai akan menaik. Ini bermakna sungai itu akan mempunyai kurang ruang untuk mengandungi air dan oleh itu, limpahan air senang berlaku. Limpahan air yang berlaku di kawasan sungai yang mengalami hakisan boleh menyebabkan banjir.

Peringatan!

-          Halangan fizikal di dalam kawasan aliran air seperti parit dan sungai boleh memperlahankan atau meyekat aliran air. Sekatan air boleh menyebabkan banjir berlaku. Oleh itu, pastikan anda tidak membuang sampah sarap ke dalam longkang atau sungai.

        4.Faktor Perhutanan

Hutan memainkan peranan yang penting dalam mengawal aliran air di permukaan bumi kita. Kebanyakan hutan tropika seperti yang terdapat di Malaysia adalah kawasan tadahan air. Ini bermakna bahawa apabila hujan lebat melanda, banyak kandungan air ditadah atau diperangkap di permukaan pokok-pokok dan tumbuhan-tumbuhan lain yang bertumbuhan di hutan. Jika tiada hutan atau apa-apa tumbuhan untuk menadah air, air hujan akan terus jatuh ke darat dan ini boleh mempercepatkan kebanjiran.

Banjir yang teruk boleh dianggap sebagai sejenis malapetaka kerana ia boleh menyebabkan banyak kemusnahan harta dan juga merbahaya kepada pelbagai hidupan termasuk manusia. Walaupun kami tidak ada banyak yang kita boleh buat untuk menghalang banjir daripada berlaku, kita boleh bersedia untuk banjir dengan lebih berkesan jika kita tahu lebih tentang punca-punca fenomena ini.


Sesi Soalan

Marilah kita menguji tahap pengetahuan kita tentang banjir dan punca-puncanya.

  1. Bolehkah banjir berlaku tanpa hujan? Jika ya, berikan satu contoh.
  2. Bandar A mempunyai sistem perparitan yang kurang moden dan dipenuhi sampah-sarap. Adakah ini selamat? Mengapa?
  3. Namakan dua punca banjir yang semulajadi.

Artikel berkaitan:





// Carian